Thursday 12 December 2013

Pandangan Perundangan Terhadap Kes Persetubuhan Luar Nikah



KES JENAYAH : PERSETUBUHAN LUAR NIKAH
PERTUDUHAN DI BAWAH SEKSYEN 25(1) ENAKMEN JANAYAH SYARIAH SELANGOR 1995 TERHADAP KACHAK DAN CHANTEK


PENDAKWA SYARIE
LAWAN
KACHAK                                                                  …OKT1
CHANTEK                                                                …OKT2

KEPUTUSAN MAHKAMAH

[1]        Menurut apa yang telah diputuskan oleh Hakim bicara terhadap Kachak dan Chantek,  kedua-duanya didapati bersalah dan telah disabitkan atas kealahan jenayah syariah di bawah seksyen 25(1)Enakmen kesalahan Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 iaitu persetubuhan luar nikah yang di lakukan di premis Jahanam Bangsat Motel dengan dijatuhi hukuman denda sebanyak tiga ribu ringgit dan penjara satu bulan.

[2]        Sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Seksyen 25 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 bahawa “Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.” 

[3]        Hakim bicara dalam memutuskan kes Kachak dan Chantek telah dijatuhkan hukuman dengan kombinasi di antara bayaran denda dan juga penjara selama satu bulan seperti mana yang telah diperuntukkan dalam seksyen tersebut. 

[4]        Saya mendapati hakim telah menjatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan ke atas kachak, walau bagaimanapun saya mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan keatas chantek adalah tidak selari seperti mana yang telah digariskan di dalam enakmen kesalahan jenayah tersebut.

[5]        Sewajarnya pertuduhan ke atas chantek dilakukan di bawah seksyen 25(2) Enakmen kesalahan jenayah syariah Selangor 1995 bahawa Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

[6]        Walau bagaimanapun, Seksyen 207(a) Enakmen tatacara Jenayah Syariah 2003 telah menerangkan dengan jelas Tertakluk kepada peruntukan yang terkandung dalam Bab ini, tiada dapatan, hukuman atau perintah yang dijatuhkan atau dibuat oleh suatu Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten boleh diakaskan atau diubah oleh sebab—
(a) apa-apa kesilapan, peninggalan atau ketakteraturan dalam aduan, saman, waran, pertuduhan, penghakiman atau prosiding lain sebelum atau semasa perbicaraan di bawah Enakmen ini;

[7]        Saya berpandangan bahawa mana-mana orang didakwa atas pertuduhan yang salah sekalipun didapati bersalah adalah tidak tepat. Kerana sesuatu hukuman itu seharusnya didasarkan kepada pertuduhan yang sewajarnya tanpa sebarang ketakaturan kerana menuduh seseorang terhadap perlakuan mana-mana jenayah harus dinyatakan dengan jelas supaya tertuduh memahami dengan sebaiknya pertuduhan yang dibuat terhadapnya.

[8]        seksyen 207 (c ) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 menyatakan bahawa (c) penerimaan atau penolakan tak wajar apa-apa keterangan, melainkan jika kesilapan, peninggalan, penerimaan atau penolakan tak wajar keterangan, ketakteraturan, ketiadaan keizinan atau salah arahan itu telah menyebabkan kegagalan peradilan.

[9]        Saya berpandangan kesilapan yang ada dalam pertuduhan adalah ciri-ciri yang boleh menyebabkan kegagalan dalam peradilan dan boleh membuka ruang kepada pendakwa-pendakwa syarie terkemudian daripada ini membuat kesilapan dan kemudiannya mendakwa kesilapan tersebut adalah dari sudut teknikal sahaja dan menyebabkan mereka tidak berhati-hati dan peka dalam membuat pertuduhan, seharusnya di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah harus diteliti dengan sebaiknya agar keadilan dan kesaksamaan di dalam islam itu dapat dizahirkan di mahkamah syariah.


HUKUMAN KESLAHAN TERSEBUT MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG HUDUD

[10]      Menurut perspektif Undang-Undang Hudud, dapat dinyatakan bahawa kesalahan yang telah dilakukan oleh kachak dan chantek adalah kesalahan Zina iaitu persetubuhan di antara lelaki dan perempuan yang jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman 100 kali sebatan bagi penzina yang belum berkahwin dan hukuman rejam bagi mereka yang telah berkahwin.

[11]      Kesalahan dan Hukuman-Hukuman tersebut telah diperoleh berdasarkan kepada ayat Al-Quran dan juga Al-Sunah.
Firman Allah Swt di dalam Surah An-Nur ayat ke-2 :  
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

[12]      Dan sabda baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan bahawa
عن أبي هريرة رضي الله عنه أنه قال { أتى رجل من المسلمين رسول الله صلى الله عليه وسلم - وهو في المسجد - فناداه : يا رسول الله ، إني زنيت ، فأعرض عنه . فتنحى تلقاء وجهه فقال : يا رسول الله ، إني زنيت ، فأعرض عنه ، حتى ثنى ذلك عليه أربع مرات . فلما شهد على نفسه أربع شهادات : دعاه رسول الله ، فقال : أبك جنون ؟ قال : لا . قال : فهل أحصنت ؟ قال : نعم . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اذهبوا به فارجموه }
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah –Semoga Allah meredhoinya- telah berkata bahawa telah datang seorang lelaki dari kalangan orang Islam kepada rasulullah dan pada ketika itu Rasulullah berada di dalam Masjid, maka lelaki tersebut telah berkata kepada Rasulullah : Ya Rasulullah, Sesungguhnya aku telah berzina. Lalu rasulullah pun berpaling daripadanya. Kemudian lelaki tersebut mengadap wajah baginda kembali dan berkata sesungguhnya aku telah berzina, Lalu Rasulullah turut berpaling sehinggalah berulang-ulang sebanyak 4kali kejadian tersebut. Setelah lelaki tersebut mengaku sebanyak empat kali, lalu rasulullah pun memanggilnya dan berkata adakah kamu gila lelaki tersebut menjawab tidak dan adakah kamu telah berkahwin seraya menjawab ya, lalu Rasulullah mengarahkan lelaki tersebut direjam.

[13]      Menurut para sarjana Islam dalil-dalil yang dinyatakan ini adalah menjadi sumber autoriti yang utama terhadap kesalahan zina berserta dengan hukumannya.

[14]      Sekiranya kachak dan chantek didapati melakukan kesalahan ini maka, hukuman yang setimpal adalah seperti mana yang telah diterangkan terdahulu daripada ini.

[15]      Namun, seperti sedia maklum bahawa terdapat batasan yang membataskan undang-undang syariah di Malaysia yang telah menyatakan dengan jelas sekalipun berbidang kuasa terhadap semua kesalahan syariah hukuman yang boleh dikenakan adalah 3,5,6 dan tidak lebih dari itu. Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah menjelaskan bahawa 

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

[16]      Menurut Islam, sekiranya pemerintah telah membataskan bidang kuasa mahkamah dengan batasan tertentu, mahkamah tersebut hanya akan berbidang kuasa terhadap bidang kuasa yang diperuntukkan sahaja.

[17]      Jika mahkamah beranggapan bahawa penghakiman melebihi batansan tersebut boleh dijatuhkan secara tidak langsung mahkamah tersebut telah melampaui bidang kuasa yang telah diperuntukkan,  dan di dalam kes chantek dan kacahk ini mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman sepertimana dana yang diperuntukkan dalam hukum syarak akibat batasan bidang kuasa yang dikenakan terhadap mahkamah syariah.

RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN TERSEBUT DI MAHAKAMAH SYARIAH
[18]      Dalam kes ini, seperti mana yang saya jelaskan pada para bahawa Mahkamah Syariah telah dibatasi dengan akta dan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diminta oleh Chantek dan Kacahk.

[19]      Tetapi dari sudut lain pula, Rayuan terhadap kes-kes kesalahan syariah boleh dilakukan. Ia bergantung pada perkara yang hendak dirayu dan bagi tujuan tersebut penelitian yang teliti harus dibuat berdasarkan Alasan Penghakiman bagi kes tersebut.

[20]      Walau bagaimanapun, saya boleh membuat andaian di dalam mana-mana kes yang hendak dibuat rayuan terdapat dua sudut yang saya boleh buat sedikit ulasan.

[21]      Sekiranya didapati kes ini diputuskan berdasarkan dapatan bukti-bukti yang salah yang seterusnya membawa kepada penghakiman yang salah, maka kita boleh merayu dengan menyatakan alasan-alasan mengapa kita hendak merayu terhadap keputusan tersebut dalam petisyen rayuan.

[22]      Dan sekiranya rayuan yang hendak dibuat bukan untuk menafikan kesalahan jenayah yang dibuat tetapi untuk meringankan hukuman maka rayuan juga boleh turut dibuat terhadap penghakiman tersebut.

[23]      Terdapat banyak faktor yang boleh dihujahkan supaya Mahkamah Yang Mulia ini meringankan hukuman yang telah dijatuhkan sebagai contoh dalam kes ini hukuman penjara selama satu bulan boleh diketepikan dan denda yang perlu dibayar oleh Chantek dan Kachak boleh dikurangkan.

[24]      Antara faktor yang boleh diambil kira oleh mahkamah seperti kesalahan kali pertama, tanggungjawab terhadap nafkah kepada keluarga, sudah menyesal dan bertaubat, mengaku bersalah dan lain-lain.

[25]      Prosiding rayuan ini adalah sesuatu yang dijamin di oleh undang-undang seperti mana yang telah dinyatakan di dalam peruntukkan seksyen 138. Tatacara rayuan. Bahawa (1) Tertakluk kepada seksyen 136 dan 137, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan mana-mana penghakiman, hukuman atau perintah yang diumumkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu kes atau perkara jenayah yang kepadanya dia ialah suatu pihak, boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap penghakiman, hukuman atau perintah itu berkenaan dengan apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas alasan bahawa mana-mana hukuman dikatakan keras berlebih-lebihan atau dikatakan tak memadai, dengan mengemukakan, dalam masa empat belas hari dari masa penghakiman, hukuman atau perintah itu dijatuhkan atau dibuat, kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah itu suatu notis rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

[26]        Oleh yang demikian itu, adalah satu perkara yang tidak mustahil bagi chantek dan kachak untuk merayu terhadap hukuman yang telah dijatuhkan dalam tempoh masa 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Tugasan Subjek Jenayah

Antara 'subject matter' approach & 'remedy prayed for' approach dalam menentukan bidang kuasa



Tajuk Kes
Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai lwn. Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors [2003] 3 MLJ 705

Pertembungan bidang kuasa


Di Analisa oleh Izaan Azalan

ISU PERUNDANGAN/PROSEDUR MAL/PENEMUAN BARU:

1)      Kes ini adalah merupakan kes yang telah melalui tiga tingkatan Mahkamah iaitu Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Dan Mahkamah Persekutuan setelah diberi kebenaran untuk merayu.

2)      Kes ini telah dimulakan dengan satu Writ Saman yang difailkan oleh Responden (Plaintif) di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang supaya membuat satu pengisytiharan bahawa sebidang tanah yang berada di Pulau Pinang adalah milik Plaintif. Perayu (Defendan) dalam kes in telah memfailkan bantahan awal terhadap Writ Saman tersebut untuk membatalkannya dengan menyatakan bahawa Mahkamah Tinggi Tidak mempunyai bidang kuasa bagi membuat pengisytiharan tersebut sebaliknya perkara tersebut tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah.

3)      Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa tindakan yang difailkan adalah tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah sivil dan bukannya bidang kuasa mahkamah syariah, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi tersebut.

4)      Tugas Mahkamah Persekutuan dalam kes ini adalah untuk melihat sama ada Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Rayuan Sivil telah menggunakan pendekatan yang sewajarnya dalam membuat penghakiman bahawa Mahkamah Syariah tidak berbidang kuasa.

5)      Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah mengemukakan dua bentuk pendekatan dalam menentukan sesuatu perkara tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah yang mana satu iaitu :- 

a.      Pertama         :           Perkara yang dituntut 'Subject matter'
b.      Kedua            :           Jenis tindakan yang difailkan. 'Remedy prayed for approach'

6)      Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah memutuskan bahawa pendekatan kedua yang telah digunapakai oleh mahkamah tinggi sivil dan mahkamah rayuan sivil adalah tidak tepat dan sebaliknya menegaskan bahawa pendekatan yang pertama adalah lebih wajar diutamakan. Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan.

ANALISA :

7)      Di dalam penghakiman kes ini, Mahkamah persekutuan menjelaskan dua pendekatan yang berbeza dalam menentukan bidang kuasa mahkamah terhadap sesuatu perkara iaitu 'subject matter' dan  'remedy prayed for approach'

8)      Bagi memudahkan pembaca untuk memahami pendekatan-pendekatan tersebut. Penulis nyatakan di bawah ini secara ringkas berkenaan pendekatan-pendekatan tersebut berdasarkan kepada apa yang telah di ulas oleh Mahkamah Persekutuan.
 
Pendekatan ‘Remedy Prayed For Approach’

9)      Sewaktu pendengaran di mahkamah tinggi sivil Yang Arif hakim telah menjadikan kes Majlis Agama Islam Pulau Pinang lwn Isa Abdul Rahman & Satu Yang Lain [1992] 2 MLJ 244  sebagai pertimbangan dalam membuat keputusan. Dalam kes ini, telah diputuskan berdasarkan perintah yang dipohon.

10)  “Dalam kes tersebut, Isa Abdul Rahman memohon supaya satu injuksi dikeluarakan bagi menegah Majlis Agama Islam atau wakilnya untuk merobohkan masjid yang didirikan atas tanah seseorang yang telah diwakafkan dengan wakaf am. Setelah mengkaji dengan teliti, hakim bagi kes tersebut mendapati enakmen pentadbiran agama islam negeri Pulau Pinang tidak memperuntukkan apa-apa berkenaan dengan jenis injunksi tersebut dan memutuskan mahkamah syariah tidak ada bidang kuasa dan sewajarnya injunksi tersebut di pohon di mahkamah tinggi sivil.

11)  Sewaktu pendengaran kes ini di mahakamh rayuan mahkamah rayuan turut menggunakan pendekatan yang sama.

Pendekatan ‘Subject Matter’

12)  Manaakala sewaktu diperingkaat rayuan, mahkamah merujuk kepada keputusan Soon Singh a/l Bikar Singh v Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kedah & Anor [1999] 1 MLJ 489 yang mana kes tersebut di putuskan dengan mengakas keputusan kes Isa Abdul Rahman.

13)  “Dalam kes tersebut, Soon Singh mendakwa bahawa beliau telah menukar kepada agama islam sewaktu kecil tanpa keizinan ibunya dan kemudiannya telah dibaktiskan dan mendakwa dirinya menganut agama Sikh. Satu permohonan deklarasi bahawa beliau bukan lagi islam telah difailkan di mahkamah tinggi sehingga ke peringkat rayuan akibat dicabar oleh PERKIM bahawa mahkamah tinggi syariah tidak berbidang kuasa. Mahkamah putuskan bahawa Bidang kuasa mahkamah-mahkamah syariah untuk menguruskan penukaran agama ke luar daripada agama Islam, walaupun tidak diperuntukkan secara nyata dalam beberapa Enakmen Negeri, boleh dibaca ke dalam enakmen tersebut secara tersirat yang didapati daripada peruntukan berkenaan dengan penukaran kepada agama Islam. Adalah tidak boleh dielakkan bahawa oleh kerana hal-hal tentang penukaran ke agama Islam diliputi oleh bidang kuasa mahkamah-mahkamah syariah, secara tersirat, penukaran ke luar daripada agama Islam juga haruslah diliputi oleh bidang kuasa mahkamah-mahkamah yang sama. Justeru itu, permohonan perayu untuk satu perisytiharan bahawa ia bukan lagi seorang penganut agama Islam diliputi oleh bidang kuasa mahkamah syariah dan bukan bidang kuasa Mahkamah Tinggi”

KOMENTAR :

14)  Berdasarkan kepada kedua-dua prinsip yang ada dalam kes tersebut yang mana kedua-duanya telah diputuskan oleh Mahkamah persekutuan, di dalam kes  Majlis Ugama Islam Pulau Pinang dan Seberang Perai lwn. Shaik Zolkaffily bin Shaik Natar & Ors [2003] 3 MLJ 705 mahkamah berpandangan bahawa mahkamah tidak lagi terikat dengan penghakiman kes isa Abdul Rahman dan selanjutnya membuat keputusan dengan bersandarkan kepada kes Soon Singh.

15)  Jika diperhatikan, mahkamah persekutuan dalam kes tersebut cuba menyimpulkan bahawa sesuatu perkara yang tidak termaktub dengan jelas berkenaan dengan perintah dipohon atau sebagainya tidak menjadikan sesuatu mahkamah itu tidak berbidang kuasa selagi mana perkara yang dipertikaikan tersebut masih berada di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam jadual kesembilan senarai dua senarai negeri.

16)  Kesilapan pembuat undang-undang dengan tidak memperuntukkan undang-undang khusus berkaitan dengan perkara tersebut tidak menjadikan sesuatu mahkamah itu tidak berbidang kuasa kerana secara semula jadinya berpandukan kepada senarai persekutuan dan senarai negeri dalam jadual kesembilan telah menyatakan bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil secara nyata.

17)  Pada pandangan saya, dengan adanya penghakiman-penghakiman yang sebegini memberi penjelasan kepada pembuat undang-undang supaya bertindak lebih proaktif dalam membuat penggubalan undang-undang untuk menutup lacuna-lacuna yang ada dalam perundangan.

Entah betul entah tidak, Hentam sajalah.
Sekian, Terima Kasih


Thursday 5 December 2013

KONSEP QIAS DALAM PENGHARAMAN DADAH DENGAN MENYENTUH KEPADA RUKUN-RUKUN QIAS SERTA SIFAT PENGHUJAHANNYA



Oleh : Iz’aan Azalan

PENGENALAN QIAS

[1]        Qias adalah salah satu daripada method ijtihad yang diguna pakai oleh para fuqaha untuk menentukan hukum syarak bagi sesuatu perkara atau perbuatan yang tidak ada padanya dalil yang khusus baik daripada Al-Quran mahupun As-sunnah berkenaan sesuatu perkara atau perbuatan tersebut.

[2]        Method ini digunapakai dengan menentukan hukum bagi sesuatu perkara atau perbuatan, yang tidak ada  dalil daripada Al-Quran dan as-sunah, dengan sesuatu perkara atau perbuatan, yang ada dalil daripada Al-Quran dan As-sunah, kerana wujudnya persamaan antara kedua-duanya  dari segi Illah atau sebab hukum tersebut ditetapkan.

ANALOGI QIAS

[3]        Qias dengan mudah boleh di analogikan dengan  analogi ringkas seperti mana berikut :

Ø  Perkara/perbuatan “x” telah ditentukan hukum terhadapnya berdasarkan dalil Al-Quran atau sunah dengan hukum “Haram”.

Ø  Hukum “Haram” ditetapkan kepada “x” kerana kewujudan sebab/illah “A” pada perkara “x” tersebut.

Ø  Perkara “y” yang tidak mempunyai dalil berdasarkan Al-Quran dan as-sunah  mempuyai illah atau sebab yang sama dengan perkara “x” iaitu “A”

Ø  Maka Hukum “Haram” ditetapkan kepada “y” kerana kewujudan sebab atau illah “A” tersebut. 

PRINIP ASAS BAGI PENGAPLIKASIAN QIAS
 
[4]        Berdasarkan kepada analogi tersebut dapat disimpulkan di sini bahawa terdapat dua prasyarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum untuk mengguna pakai method Qias ini.

Ø  Hendaklah dipastikan sesuatu perkara itu tidak ada dalil yang spesifik daripada Al-Quran mahupun As-sunnah dan  Sekiranya ada maka dalil-dalil tersebut lebih diutamakan.

Ø  Hendaklah perkara yang tidak mempunyai dalil tersebut mempunyai persamaan dari segi illah atau sebab dengan perkara yang ada pada nya dalil. Sekiranya tidak ada persamaan maka tidak boleh disamakan hukum di antara kedua-duanya.

[5]        Antara lain, turut dapatkan  disimpulkan di sini bahawa Qias tidaklah membuat hukum baru tetapi method ini adalah menyamakan sesuatu perkara dengan satu perkara yang lain sahaja.

RUKUN-RUKUN QIAS & CONTOH PENGAMALANNYA 

[6]        Bagi menentukan hukum sesuatu perkara/perbuatan melalui method ini, Para Ulama telah menggariskan terdapat empat rukun yang perlu dipenuhi.

RUKUN PERTAMA ADALAH PERKARA ASAL

[7]        Perkara asal di sini adalah merujuk kepada sesuatu perkara yang telah disebut di dalam Al-Quran atau As-Sunah berserta dengan hukumnya menurut islam.
Sebagai Contoh :
Surah Al-Maidah Ayat 10 :

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

[8]        Tanpa merujuk kepada Hukum yang terkandung di dalam ayat ini, Al-Quran telah menyebut bahawa wujudnya perkara yang dinamakan “Al-khamr” yang diterjemahkan sebagai arak.

[9]        Arak ini disebut dengan jelas berserta dengan hukum syarak berkaitan dengannya  di dalam ayat tersebut. Arak yang disebutkan di sini adalah dikategorikan sebagai Perkara Asal.

RUKUN KEDUA ADALAH HUKUM KEPADA PERKARA ASAL TERSEBUT

[10]      Perkara asal iaitu arak yang telah disebutkan dengan nyata dalam ayat yang telah dinyatakan terdahulu daripada ini, telah turut menjelaskan hukum bagi perkara tersebut.

[11]      Perkataan “Fajtanibuhu” adalah perkataan bahasa Arab yang membawa maksud “Jauhilah”. Di dalam pengkajian usul fiqh terdapat beberapa lafaz yang telah diklasifikasikan oleh para fuqaha sebagai perkataan yang membawa maksud pengharaman kepada sesuatu perkara. Dan perkataan “ijtinab” ini adalah salah satu daripada perkataan yang membawa maksud pengharaman tersebut.

[12]      Oleh yang demikian, adalah dapat diketahui bahawa hukum kepada rukun yang pertama iaitu arak adalah haram.

[13]      Maka, timbul pula persoalan yang akan dijawab dalam rukun keempat nanti iaitu apakah sebab atau illah diharamkan Arak tersebut ?

RUKUN KETIGA : PERKARA ATAU PERBUATAN YANG TIADA HUKUM “PERKARA FURUQ” YANG MENYAMAI SEBAB/ILLAH DENGAN PERKARA YANG ASAL.

[14]      Rukun ketiga ini adalah merujuk kepada apa-apa perkara yang hendak disamakan dengan pengharaman hukum arak tersebut. 

[15]      Sekiranya perkara yang terkandung dalam rukun ketiga ini, jika dapat dibuktikan wujudnya persamaan dengan Rukun Pertama dari segi sebab atau illahnya yang akan dihuraikan kemudian daripada ini, maka perkara ini akan diberikan kepadanya hukum sebagaimana perkara asal tersebut.

[16]      Sebagai contoh, Rata-rata para sarjana Islam meletakkan Dadah sebagai contoh yang sesuai untuk memahami bagaimana Qias diaplikasikan kerana wujudnya persamaan yang ketara dari sudut kewujudan sebab atau illah pada dadah tersebut dengan perkara asal iaitu arak.

RUKUN KEEMPAT : PERSAMAAN ILLAH ATAU SEBAB DI ANTARA PERKARA ASAL DAN PERKARA FURUQ.

[17]      Sekiranya hukum perkara asal hendak ditetapkan kepada perkara furuq, hendaklah terlebih dahulu apakah illah atau sebab yang mempunyai persamaan antara keduanya.

[18]      Setelah dikaji dan diteliti dari kesan dan faktor-faktor lain para fuqaha’ berpandangan bahawa illah atau sebab kepada pengharaman arak adalah kerana sebab arak itu menutupi akal dan memabukkan yang boleh menghilangkan kewarasan seseorang.

[19]      Pada asalnya, Dadah itu tidak ada apa-apa hukum terhadapnya dan dengan mengambil kira prinsip sesuatu perkara adalah halal dan dibolehkan maka dadah pada asalnya adalah halal dan harus digunakan.

[20]      Walau bagaimanapun, Kesan yang diperolehi daripada pengambilan arak turut dilihat akan terhasil bagi mana-mana orang yang mengambil dadah. Maka, para fuqaha’ berpandangan bahawa dadah dan Arak tidak ada beza di antara keduanya kerana kedua-duanya mempunyai perbezaan dari segi illah dan sebab.

[21]      Antara hikmah mengapa Islam mengharamkan arak adalah kerana menjaga diri manusia agar sentiasa dalam keadaan mulia serta penguasaan akal yang penuh, perbuatan meminum arak hanya memudaratkan akal manusia.

[22]      Adalah menjadi sesuatu amalan yang tempang sekiranya hikmah ini tidak diadaptasi dalam kes pengambilan dadah. Oleh hal yang demikian dadah turut diharamkan hasil daripada persamaan sebab dan illah tersebut.

SEKITAR PERBINCANGAN BERKENAAN PENGAPLIKASIAN QIAS DALAM KES PENGHARAMAN DADAH.

[23]      Sekalipun telah dijelaskan terdahulu daripada ini tentang pengaplikasian method qias tersebut, Ada dikalangan para fuqaha’ yang tidak bersetuju dengan pengharaman dadah menggunakan method ini.

[24]      Fuqaha’ tersebut berpandangan bahawa method qias hanya akan dirujuk bilamana tidak ada dalil tentang sesuatu perkara yang menjelaskan perkara tersebut secara spesifik.

[25]      Sepertimana yang telah di jelaskan sebelum ini, sekiranya ada dalil dari Al-Quran atau As-Sunah berkenaan dengan perkara tersebut hendaklah didahulukan dalil-dalil tersebut dan Dalam kes pengharaman dadah, tidak sewajarnya dirujuk kepada Qias.

[26]      Mereka berhujah bahawa Nabi Muhammad saw pernah bersabda bahawa  :
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ.

Maksudnya : Daripada Ibn Omar, Sesungguhnya Rasulullah bersabda bahawa setiap benda yang memabukkan (menghalang akal berfungsi dengan baik) adalah khamar, dan setiap yang memabukkan itu adalah haram.

[27]      Berdasarkan hadis tersebut, dapat diteliti bahawa Nabi menyamakan setiap yang memabukkan itu sebagai khamar. Tidak kira apa jua perkara itu dinamakan, sekiranya ia memabukkan (menghalang akal berfungsi dengan baik) maka perkara tersebut dikategorikan sebagai Al-khamr dan hukum bagi perkara tersebut adalah Haram.

[28]      Oleh itu, adalah lebih tepat dan lebih wajar jika pengharaman dadah tersebut terus dirujuk kepada dalil yang asal berbanding kepada Qias.

[29]      Pada pandangan penulis, pendapat ini turut mempunyai hujahnya yang kuat yang harus dipertimbangkan dalam pengharaman sesuatu perkara yang memabukkan dan tidak hanya  bergantung pada qias kerana ada dalil yang lebih wajar diutamakan.

KESIMPULAN

[30] Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam menggunakan method qias bagi menentukan hukum bagi sesuatu perkara.

[31]      Penulis berpandangan bahawa tugas yang paling sukar dalam membuat penentuan hukum berdasarkan method qias ini adalah pada menentukan illah atau sebab bagi sesuatu perkara itu diputuskan dengan hukum-hukum tertentu dan Perlu adanya kemampuan dalam menilai illah atau sebab agar illah yang dikeluarkan dilihat sebagai sesuatu yang kukuh yang boleh diterima serta diambil kesempatan oleh mana-mana pihak lain yang tidak bertanggungjawab dengan mendakwa sesuatu hukum diperolehi dengan Qias sedangkan illah atau sebabnya sangat longgar sehingga mendatangkan fitnah kepada Agama Islam.

Wallahua3alam.
*Tugasan Untuk Kelas DLSA 2012