Wednesday, 25 July 2012

Respon bagi Artikel : Hudud PAS dan Hudud Umno – Apa Bezanya?

Respon bagi Artikel : Hudud PAS dan Hudud Umno – Apa Bezanya? (23/7/2012)

Hudud merupakan antara teras perjuangan yang diperjuangkan oleh Pas dari dulu sehingga kini [i]. Baru-baru ini, Ahli dewan undangan negeri  Kemelah Datuk Ayub Rahmat juga telah mencadangan supaya Johor  melaksanakan hukum hudud tersebut dinegari tersebut,  saya lihat cadangan ini disambut baik oleh Pas dan sepatutnya cadangan ini disambut baik oleh NGO-NGO Islam yang ingin melihat syariat Allah didirikan di muka bumi Allah.

Walau bagaimana pun hasrat murni ini boleh dipertikaikan oleh ramai pihak, mengapa menjelang pilihan raya cadangan ini di war-warkan ? adakah tidak hasrat murni ini tiada kepentingan politik ? umat Islam ragu-ragu dengan hasrat ini kerana kenyataan beliau yang ingin melaksanakan hukum Hudud yang berlainan dengan hudud Pas, apakah di sana ada namanya Hudud Pas atau Hudud Umno ? Saya amat bersetuju dengan Sdri Hayati Kaprawi dalam hal ini, kerana saya percaya hudud itu hanya ada satu, Hudud yang Islam bawa.

Merpersoalakan kesesuaian hukum dan mempersoalkan masa yang sesuai bagi pelaksanaan hukum adalah dua soalan yang berbeza

Bersetuju bukan ertinya saya sokong semua persoalan yang dibangkitkan, ada juga perkara yang saya tidak bersetuju dengan beliau dalam mempersoalkan “adakah hudud itu sesuai untuk dilaksanakan di  Malaysia ? sebaiknya sebaliknya pertanyaan yang perlu dilontarkan “bilakah masa yang sesuai untuk melaksanakan hukum hudud di Malaysia ?”

Perbezaan antara pertanyaan yang pertama dan yang kedua adalah mempersoalkan pelaksanaan hukum hakam islam secara mutlak sehingga mungkin membawa  fahaman  yang negatif  iaitu mempersoalkan kerelevanan hukum hakam agama pada masa kini ? seolah-olah boleh juga difahami Agama Islam ini sudah lapuk hukumnya dan perlu kepada pengubahsuaian. Manakla pertanyaan yang kedua, tidak mempersoalkan akan kewajipan pelaksanaan hukum-hakam islam sebaliknya lebih mempersoalkan kebersedian dan kemampuan kita sebagai umat islam untuk melaksanakan hukum hakam tersebut.

Perkara yang lain yang cuba dibangkitkan oleh beliau adalah berkenaan dengan pelaksanaan hukum hudud yang bertentangan dengan perlembagaan Malaysia, kesesuaian pelaksanaan hudud dalam konteks masyarakat yang moden dan berbilang kaum, jaminan terhadap hak asasi manusia, layanan buruk terhadap wanita di mahkamah-mahkamah syariah, perempuan tidak dibenarkan menjadi saksi dalam kes hudud,  pelaksanaan hudud ini tidak mampu menjamin keamanan dan kebahagian rakyat, undang-undang “copy and paste” daripada Pakistan dan kitab fiqh klasik yang dilihat tidak ada usaha untuk menawarkan ijtihad atau pemikiran baru yang lebih sesuai untuk konteks masa kini.

Dan natijah yang keluar dari persoalan-persoalan berikut adalah pengamalan hudud bukanlah sesuatu yang  akan menyempurnakan agama Islam di Malaysia sebaliknya yang akan mengharumkan nama islam dan menjaga kepentingan rakyat adalah keadilan, keserataan dan kesejahteraan masyarakat.

saya kira perkara-perkara yang dibangkitkan boleh dibahagikan 3 jenis soalan yang utama:

Pertama : Perlembagaan dan Konteks masyarakat Malaysia .
Kedua : Perbezaan antara Ajaran Agama dan Fahaman penganutnya.
ketiga : kegagalan parti politik dalam menyelesaikan permasalahan utama.


Hukuman hudud yang melanggar perlembagaan

Saya kira perlembagaan kita bukannya ‘beku’ malahan tahun ke tahun ada sahaja pindaan –pindaan yang dibuat mengikut kesesuaian keadaan semasa, jika kita ingin berpegang kepada perlembagaan tanpa ada sebarang pindaan maknanya kita akan hidup di bawah perlembagaan yang jumud dan tidak berkembang. Sekiranya hukuman hudud melanggar perlembagaan ruang-ruang untuk membuat pindaan masih terbuka luas.

Memandangkan negara kita Malaysia mengamalkan sistem yang diperintah oleh keputusan majoriti, saya rasa sekiranya majoriti sudah memutuskan untuk melaksanakan sesuatu undang-undang, kita perlu ikut, tidak kisah kita yang mengundi majoriti yang menang atau tidak. Mungkin, ramai yang beranggapan cara ini mustahil, tapi saya kira dengan banyaknya wacana dan siri-siri perdebatan yang menjadi pencerahan kepada masyarakat yang berbilang agama dan bangsa mampu merealisasikan idea ini.

Kecewa dengan Agama atau fahaman serta pengamalan penganutnya ?

Perlu dijelaskan sini Agama, fahaman, pengamalan penganutnya adalah perkara yang berbeza. Agama Sumbernya Al-Quran dan juga As-sunnah, jika kita beriman dengan agama kita beriman dengan sumbernya sebagai contoh, Hukuman potong tangan bagi pencuri yang ada di dalam Al-Quran bukanlah merupakan rekaan ulama-ulama tetapi ia merupakan bukti yang jelas adanya hukuman yang sedemikian di dalam agama kita.

 Fahaman penganut terhadap sumber agamanya sesuatu perkara yang boleh dinilai, dan boleh diterima ataupun ditolak jika tidak berpandukan sumber dari agama, kitab-kitab fiqh yang dikatakan ‘klasik’ oleh Sdri Hayati adalah merupakan fahaman para sarjana terhadap agama, boleh jadi fahaman mereka salah, dan boleh jadi fahaman mereka betul. Sekiranya apa yang kita rasakan salah, nyatakan dengan hujah dari sumber agama juga, kemudian nyatakan bagaimana kamu faham mengenai sumber tersebut. Bukan bersikap ‘membuang’ apa yang ada di dalam Al-Quran dan juga As-sunah atas alasan melanggar hak asasi manusia dan berlaku zalim.

Soal wanita dan juga bukan islam tidak boleh menjadi saksi merupakan sebahagian padangan, sedangkan para sarjana yang lain berpendapat ianya boleh. Pas tidak melayakkan wanita dan bukan islam menjadi saksi mungkin berpandukan kepada pandangan tersebut. Seperti yang saya katakan tadi, sekiranya kita bandingkan antara dua pendapat ini nescaya kita lebih mengetahui mana lebih dekat dengan roh Islam, tapi perkara ini tidak cukup dengan berhujah Tuhan maha pengasih dan maha penyayang, kesamarataan, keadilan dan lain-lain bahkan perlu kepada sumber agama yang berbicara secara khusus tentang perkara ini.

Berhujah dengan kemodenan masyarakat kita pada hari ini sudah tidak sesuai dengan pelaksanaan agama juga tidak masuk akal, adakah perlu kita yang sesuaikan Agama dengan kita atau kita perlu yang perlu menyesuaikan diri dengan perintah Agama ? Siapa yang sudahnya menjadi petunjuk bagi siapa ? kita atau pencipta ?

Ketaksiran penganut dalam melaksanakan perintah bukan salah agama, tapi salah individu itu sendiri. Layanan buruk yang diberikan oleh mahkamah syariah terhadap wanita adakah salah agama ? atau ia kesalahan individu ? sekiranya penganut agama dianggap sebagai agama amat malang sekali, kerana penganut agama tidak dapat lari dari salah dan silap.

Kegagalan menangani masalah utama negara

Saya bersetuju dengan kesimpulan yang dikeluarkan oleh Sdri tapi tidak secara keseluruhan, dalam konteks masa sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk melaksanakan hudud, kerana ia tidak dapat mempamerkan keindahan Islam, sebaliknya menakut-nakutkan ramai pihak.

Ketika negara masih belum mampu menyelesaikan masalah utama seperti rasuah[ii], kemiskinan, pengangguran dan sebagainya selagi itulah hudud terpaksa ditangguhkan daripada perlaksannannya. Seperti yang berlaku di zaman sayidina Omar dan musim kemarau yang melanda umat islam pada ketika itu dan beliau membuat keputusan untuk menangguhkan perlaksanaan hukum hudud bagi yang mencuri. Kerana tujuan melaksanakan hudud bukan untuk mempamerkan kekerasan islam, tapi untuk memperlihatkan keadilanya.

Penutup

Sering saya baca dan perhatikan Sdri Hayati Kaprawi sering kali memperjuangkan hak asasi manusia, kebebasan dan sebagainya, saya ingin bertanya sebagai penutup kepada respon saya ini, apakah yang Sdri definisikan sebagai kebebasan dan hak asasi manusia ? adakah perlu kepada ‘standard’ antarabangsa ? apakah hak kebebasan individu dalam sebuah negara ? apakah hak asasi manusia sebagai individu yang hidup dalam satu-satu komuniti ? soalan-soalan ini perlu dijawab kerana apa yang saya nampak hari ini kebebasan dan juga hak individu ini menyebabkan seorang itu sombong, bersifat egoistik dan sangat pentingkan diri.










[i]  Riduan Mohd No, ketua penerangan Dewan Pemuda Pas, Hudud : Akhirnya Perjuangan Pas ditiru Umno http://pemuda.pas.org.my/index.php/kenyataan-media/859-hudud-akhirnya-perjuangan-pas-ditiru-umno, 24/7/2012, 8:55 PM

[ii] Transparency international,http://www.transparency.org/country#MYS_DataResearch 25/7/2012, 4:51PM







No comments:

Post a Comment