Thursday 12 December 2013

Pandangan Perundangan Terhadap Kes Persetubuhan Luar Nikah



KES JENAYAH : PERSETUBUHAN LUAR NIKAH
PERTUDUHAN DI BAWAH SEKSYEN 25(1) ENAKMEN JANAYAH SYARIAH SELANGOR 1995 TERHADAP KACHAK DAN CHANTEK


PENDAKWA SYARIE
LAWAN
KACHAK                                                                  …OKT1
CHANTEK                                                                …OKT2

KEPUTUSAN MAHKAMAH

[1]        Menurut apa yang telah diputuskan oleh Hakim bicara terhadap Kachak dan Chantek,  kedua-duanya didapati bersalah dan telah disabitkan atas kealahan jenayah syariah di bawah seksyen 25(1)Enakmen kesalahan Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 iaitu persetubuhan luar nikah yang di lakukan di premis Jahanam Bangsat Motel dengan dijatuhi hukuman denda sebanyak tiga ribu ringgit dan penjara satu bulan.

[2]        Sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Seksyen 25 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 bahawa “Mana-mana orang lelaki yang melakukan persetubuhan dengan orang perempuan yang bukan isterinya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.” 

[3]        Hakim bicara dalam memutuskan kes Kachak dan Chantek telah dijatuhkan hukuman dengan kombinasi di antara bayaran denda dan juga penjara selama satu bulan seperti mana yang telah diperuntukkan dalam seksyen tersebut. 

[4]        Saya mendapati hakim telah menjatuhkan hukuman seperti mana yang telah diperuntukkan ke atas kachak, walau bagaimanapun saya mendapati bahawa pertuduhan yang dikenakan keatas chantek adalah tidak selari seperti mana yang telah digariskan di dalam enakmen kesalahan jenayah tersebut.

[5]        Sewajarnya pertuduhan ke atas chantek dilakukan di bawah seksyen 25(2) Enakmen kesalahan jenayah syariah Selangor 1995 bahawa Mana-mana orang perempuan yang melakukan persetubuhan dengan orang lelaki yang bukan suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

[6]        Walau bagaimanapun, Seksyen 207(a) Enakmen tatacara Jenayah Syariah 2003 telah menerangkan dengan jelas Tertakluk kepada peruntukan yang terkandung dalam Bab ini, tiada dapatan, hukuman atau perintah yang dijatuhkan atau dibuat oleh suatu Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten boleh diakaskan atau diubah oleh sebab—
(a) apa-apa kesilapan, peninggalan atau ketakteraturan dalam aduan, saman, waran, pertuduhan, penghakiman atau prosiding lain sebelum atau semasa perbicaraan di bawah Enakmen ini;

[7]        Saya berpandangan bahawa mana-mana orang didakwa atas pertuduhan yang salah sekalipun didapati bersalah adalah tidak tepat. Kerana sesuatu hukuman itu seharusnya didasarkan kepada pertuduhan yang sewajarnya tanpa sebarang ketakaturan kerana menuduh seseorang terhadap perlakuan mana-mana jenayah harus dinyatakan dengan jelas supaya tertuduh memahami dengan sebaiknya pertuduhan yang dibuat terhadapnya.

[8]        seksyen 207 (c ) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 menyatakan bahawa (c) penerimaan atau penolakan tak wajar apa-apa keterangan, melainkan jika kesilapan, peninggalan, penerimaan atau penolakan tak wajar keterangan, ketakteraturan, ketiadaan keizinan atau salah arahan itu telah menyebabkan kegagalan peradilan.

[9]        Saya berpandangan kesilapan yang ada dalam pertuduhan adalah ciri-ciri yang boleh menyebabkan kegagalan dalam peradilan dan boleh membuka ruang kepada pendakwa-pendakwa syarie terkemudian daripada ini membuat kesilapan dan kemudiannya mendakwa kesilapan tersebut adalah dari sudut teknikal sahaja dan menyebabkan mereka tidak berhati-hati dan peka dalam membuat pertuduhan, seharusnya di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah harus diteliti dengan sebaiknya agar keadilan dan kesaksamaan di dalam islam itu dapat dizahirkan di mahkamah syariah.


HUKUMAN KESLAHAN TERSEBUT MENURUT PERSPEKTIF UNDANG-UNDANG HUDUD

[10]      Menurut perspektif Undang-Undang Hudud, dapat dinyatakan bahawa kesalahan yang telah dilakukan oleh kachak dan chantek adalah kesalahan Zina iaitu persetubuhan di antara lelaki dan perempuan yang jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman 100 kali sebatan bagi penzina yang belum berkahwin dan hukuman rejam bagi mereka yang telah berkahwin.

[11]      Kesalahan dan Hukuman-Hukuman tersebut telah diperoleh berdasarkan kepada ayat Al-Quran dan juga Al-Sunah.
Firman Allah Swt di dalam Surah An-Nur ayat ke-2 :  
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

[12]      Dan sabda baginda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan bahawa
عن أبي هريرة رضي الله عنه أنه قال { أتى رجل من المسلمين رسول الله صلى الله عليه وسلم - وهو في المسجد - فناداه : يا رسول الله ، إني زنيت ، فأعرض عنه . فتنحى تلقاء وجهه فقال : يا رسول الله ، إني زنيت ، فأعرض عنه ، حتى ثنى ذلك عليه أربع مرات . فلما شهد على نفسه أربع شهادات : دعاه رسول الله ، فقال : أبك جنون ؟ قال : لا . قال : فهل أحصنت ؟ قال : نعم . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : اذهبوا به فارجموه }
Maksudnya : Daripada Abu Hurairah –Semoga Allah meredhoinya- telah berkata bahawa telah datang seorang lelaki dari kalangan orang Islam kepada rasulullah dan pada ketika itu Rasulullah berada di dalam Masjid, maka lelaki tersebut telah berkata kepada Rasulullah : Ya Rasulullah, Sesungguhnya aku telah berzina. Lalu rasulullah pun berpaling daripadanya. Kemudian lelaki tersebut mengadap wajah baginda kembali dan berkata sesungguhnya aku telah berzina, Lalu Rasulullah turut berpaling sehinggalah berulang-ulang sebanyak 4kali kejadian tersebut. Setelah lelaki tersebut mengaku sebanyak empat kali, lalu rasulullah pun memanggilnya dan berkata adakah kamu gila lelaki tersebut menjawab tidak dan adakah kamu telah berkahwin seraya menjawab ya, lalu Rasulullah mengarahkan lelaki tersebut direjam.

[13]      Menurut para sarjana Islam dalil-dalil yang dinyatakan ini adalah menjadi sumber autoriti yang utama terhadap kesalahan zina berserta dengan hukumannya.

[14]      Sekiranya kachak dan chantek didapati melakukan kesalahan ini maka, hukuman yang setimpal adalah seperti mana yang telah diterangkan terdahulu daripada ini.

[15]      Namun, seperti sedia maklum bahawa terdapat batasan yang membataskan undang-undang syariah di Malaysia yang telah menyatakan dengan jelas sekalipun berbidang kuasa terhadap semua kesalahan syariah hukuman yang boleh dikenakan adalah 3,5,6 dan tidak lebih dari itu. Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah menjelaskan bahawa 

“Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang-orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam oleh orang-orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:

Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.”

[16]      Menurut Islam, sekiranya pemerintah telah membataskan bidang kuasa mahkamah dengan batasan tertentu, mahkamah tersebut hanya akan berbidang kuasa terhadap bidang kuasa yang diperuntukkan sahaja.

[17]      Jika mahkamah beranggapan bahawa penghakiman melebihi batansan tersebut boleh dijatuhkan secara tidak langsung mahkamah tersebut telah melampaui bidang kuasa yang telah diperuntukkan,  dan di dalam kes chantek dan kacahk ini mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman sepertimana dana yang diperuntukkan dalam hukum syarak akibat batasan bidang kuasa yang dikenakan terhadap mahkamah syariah.

RAYUAN TERHADAP KEPUTUSAN TERSEBUT DI MAHAKAMAH SYARIAH
[18]      Dalam kes ini, seperti mana yang saya jelaskan pada para bahawa Mahkamah Syariah telah dibatasi dengan akta dan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang diminta oleh Chantek dan Kacahk.

[19]      Tetapi dari sudut lain pula, Rayuan terhadap kes-kes kesalahan syariah boleh dilakukan. Ia bergantung pada perkara yang hendak dirayu dan bagi tujuan tersebut penelitian yang teliti harus dibuat berdasarkan Alasan Penghakiman bagi kes tersebut.

[20]      Walau bagaimanapun, saya boleh membuat andaian di dalam mana-mana kes yang hendak dibuat rayuan terdapat dua sudut yang saya boleh buat sedikit ulasan.

[21]      Sekiranya didapati kes ini diputuskan berdasarkan dapatan bukti-bukti yang salah yang seterusnya membawa kepada penghakiman yang salah, maka kita boleh merayu dengan menyatakan alasan-alasan mengapa kita hendak merayu terhadap keputusan tersebut dalam petisyen rayuan.

[22]      Dan sekiranya rayuan yang hendak dibuat bukan untuk menafikan kesalahan jenayah yang dibuat tetapi untuk meringankan hukuman maka rayuan juga boleh turut dibuat terhadap penghakiman tersebut.

[23]      Terdapat banyak faktor yang boleh dihujahkan supaya Mahkamah Yang Mulia ini meringankan hukuman yang telah dijatuhkan sebagai contoh dalam kes ini hukuman penjara selama satu bulan boleh diketepikan dan denda yang perlu dibayar oleh Chantek dan Kachak boleh dikurangkan.

[24]      Antara faktor yang boleh diambil kira oleh mahkamah seperti kesalahan kali pertama, tanggungjawab terhadap nafkah kepada keluarga, sudah menyesal dan bertaubat, mengaku bersalah dan lain-lain.

[25]      Prosiding rayuan ini adalah sesuatu yang dijamin di oleh undang-undang seperti mana yang telah dinyatakan di dalam peruntukkan seksyen 138. Tatacara rayuan. Bahawa (1) Tertakluk kepada seksyen 136 dan 137, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan mana-mana penghakiman, hukuman atau perintah yang diumumkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu kes atau perkara jenayah yang kepadanya dia ialah suatu pihak, boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap penghakiman, hukuman atau perintah itu berkenaan dengan apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas alasan bahawa mana-mana hukuman dikatakan keras berlebih-lebihan atau dikatakan tak memadai, dengan mengemukakan, dalam masa empat belas hari dari masa penghakiman, hukuman atau perintah itu dijatuhkan atau dibuat, kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah itu suatu notis rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.

[26]        Oleh yang demikian itu, adalah satu perkara yang tidak mustahil bagi chantek dan kachak untuk merayu terhadap hukuman yang telah dijatuhkan dalam tempoh masa 14 hari daripada tarikh penghakiman.

Tugasan Subjek Jenayah

No comments:

Post a Comment