Thursday 5 December 2013

KONSEP QIAS DALAM PENGHARAMAN DADAH DENGAN MENYENTUH KEPADA RUKUN-RUKUN QIAS SERTA SIFAT PENGHUJAHANNYA



Oleh : Iz’aan Azalan

PENGENALAN QIAS

[1]        Qias adalah salah satu daripada method ijtihad yang diguna pakai oleh para fuqaha untuk menentukan hukum syarak bagi sesuatu perkara atau perbuatan yang tidak ada padanya dalil yang khusus baik daripada Al-Quran mahupun As-sunnah berkenaan sesuatu perkara atau perbuatan tersebut.

[2]        Method ini digunapakai dengan menentukan hukum bagi sesuatu perkara atau perbuatan, yang tidak ada  dalil daripada Al-Quran dan as-sunah, dengan sesuatu perkara atau perbuatan, yang ada dalil daripada Al-Quran dan As-sunah, kerana wujudnya persamaan antara kedua-duanya  dari segi Illah atau sebab hukum tersebut ditetapkan.

ANALOGI QIAS

[3]        Qias dengan mudah boleh di analogikan dengan  analogi ringkas seperti mana berikut :

Ø  Perkara/perbuatan “x” telah ditentukan hukum terhadapnya berdasarkan dalil Al-Quran atau sunah dengan hukum “Haram”.

Ø  Hukum “Haram” ditetapkan kepada “x” kerana kewujudan sebab/illah “A” pada perkara “x” tersebut.

Ø  Perkara “y” yang tidak mempunyai dalil berdasarkan Al-Quran dan as-sunah  mempuyai illah atau sebab yang sama dengan perkara “x” iaitu “A”

Ø  Maka Hukum “Haram” ditetapkan kepada “y” kerana kewujudan sebab atau illah “A” tersebut. 

PRINIP ASAS BAGI PENGAPLIKASIAN QIAS
 
[4]        Berdasarkan kepada analogi tersebut dapat disimpulkan di sini bahawa terdapat dua prasyarat yang perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum untuk mengguna pakai method Qias ini.

Ø  Hendaklah dipastikan sesuatu perkara itu tidak ada dalil yang spesifik daripada Al-Quran mahupun As-sunnah dan  Sekiranya ada maka dalil-dalil tersebut lebih diutamakan.

Ø  Hendaklah perkara yang tidak mempunyai dalil tersebut mempunyai persamaan dari segi illah atau sebab dengan perkara yang ada pada nya dalil. Sekiranya tidak ada persamaan maka tidak boleh disamakan hukum di antara kedua-duanya.

[5]        Antara lain, turut dapatkan  disimpulkan di sini bahawa Qias tidaklah membuat hukum baru tetapi method ini adalah menyamakan sesuatu perkara dengan satu perkara yang lain sahaja.

RUKUN-RUKUN QIAS & CONTOH PENGAMALANNYA 

[6]        Bagi menentukan hukum sesuatu perkara/perbuatan melalui method ini, Para Ulama telah menggariskan terdapat empat rukun yang perlu dipenuhi.

RUKUN PERTAMA ADALAH PERKARA ASAL

[7]        Perkara asal di sini adalah merujuk kepada sesuatu perkara yang telah disebut di dalam Al-Quran atau As-Sunah berserta dengan hukumnya menurut islam.
Sebagai Contoh :
Surah Al-Maidah Ayat 10 :

Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

[8]        Tanpa merujuk kepada Hukum yang terkandung di dalam ayat ini, Al-Quran telah menyebut bahawa wujudnya perkara yang dinamakan “Al-khamr” yang diterjemahkan sebagai arak.

[9]        Arak ini disebut dengan jelas berserta dengan hukum syarak berkaitan dengannya  di dalam ayat tersebut. Arak yang disebutkan di sini adalah dikategorikan sebagai Perkara Asal.

RUKUN KEDUA ADALAH HUKUM KEPADA PERKARA ASAL TERSEBUT

[10]      Perkara asal iaitu arak yang telah disebutkan dengan nyata dalam ayat yang telah dinyatakan terdahulu daripada ini, telah turut menjelaskan hukum bagi perkara tersebut.

[11]      Perkataan “Fajtanibuhu” adalah perkataan bahasa Arab yang membawa maksud “Jauhilah”. Di dalam pengkajian usul fiqh terdapat beberapa lafaz yang telah diklasifikasikan oleh para fuqaha sebagai perkataan yang membawa maksud pengharaman kepada sesuatu perkara. Dan perkataan “ijtinab” ini adalah salah satu daripada perkataan yang membawa maksud pengharaman tersebut.

[12]      Oleh yang demikian, adalah dapat diketahui bahawa hukum kepada rukun yang pertama iaitu arak adalah haram.

[13]      Maka, timbul pula persoalan yang akan dijawab dalam rukun keempat nanti iaitu apakah sebab atau illah diharamkan Arak tersebut ?

RUKUN KETIGA : PERKARA ATAU PERBUATAN YANG TIADA HUKUM “PERKARA FURUQ” YANG MENYAMAI SEBAB/ILLAH DENGAN PERKARA YANG ASAL.

[14]      Rukun ketiga ini adalah merujuk kepada apa-apa perkara yang hendak disamakan dengan pengharaman hukum arak tersebut. 

[15]      Sekiranya perkara yang terkandung dalam rukun ketiga ini, jika dapat dibuktikan wujudnya persamaan dengan Rukun Pertama dari segi sebab atau illahnya yang akan dihuraikan kemudian daripada ini, maka perkara ini akan diberikan kepadanya hukum sebagaimana perkara asal tersebut.

[16]      Sebagai contoh, Rata-rata para sarjana Islam meletakkan Dadah sebagai contoh yang sesuai untuk memahami bagaimana Qias diaplikasikan kerana wujudnya persamaan yang ketara dari sudut kewujudan sebab atau illah pada dadah tersebut dengan perkara asal iaitu arak.

RUKUN KEEMPAT : PERSAMAAN ILLAH ATAU SEBAB DI ANTARA PERKARA ASAL DAN PERKARA FURUQ.

[17]      Sekiranya hukum perkara asal hendak ditetapkan kepada perkara furuq, hendaklah terlebih dahulu apakah illah atau sebab yang mempunyai persamaan antara keduanya.

[18]      Setelah dikaji dan diteliti dari kesan dan faktor-faktor lain para fuqaha’ berpandangan bahawa illah atau sebab kepada pengharaman arak adalah kerana sebab arak itu menutupi akal dan memabukkan yang boleh menghilangkan kewarasan seseorang.

[19]      Pada asalnya, Dadah itu tidak ada apa-apa hukum terhadapnya dan dengan mengambil kira prinsip sesuatu perkara adalah halal dan dibolehkan maka dadah pada asalnya adalah halal dan harus digunakan.

[20]      Walau bagaimanapun, Kesan yang diperolehi daripada pengambilan arak turut dilihat akan terhasil bagi mana-mana orang yang mengambil dadah. Maka, para fuqaha’ berpandangan bahawa dadah dan Arak tidak ada beza di antara keduanya kerana kedua-duanya mempunyai perbezaan dari segi illah dan sebab.

[21]      Antara hikmah mengapa Islam mengharamkan arak adalah kerana menjaga diri manusia agar sentiasa dalam keadaan mulia serta penguasaan akal yang penuh, perbuatan meminum arak hanya memudaratkan akal manusia.

[22]      Adalah menjadi sesuatu amalan yang tempang sekiranya hikmah ini tidak diadaptasi dalam kes pengambilan dadah. Oleh hal yang demikian dadah turut diharamkan hasil daripada persamaan sebab dan illah tersebut.

SEKITAR PERBINCANGAN BERKENAAN PENGAPLIKASIAN QIAS DALAM KES PENGHARAMAN DADAH.

[23]      Sekalipun telah dijelaskan terdahulu daripada ini tentang pengaplikasian method qias tersebut, Ada dikalangan para fuqaha’ yang tidak bersetuju dengan pengharaman dadah menggunakan method ini.

[24]      Fuqaha’ tersebut berpandangan bahawa method qias hanya akan dirujuk bilamana tidak ada dalil tentang sesuatu perkara yang menjelaskan perkara tersebut secara spesifik.

[25]      Sepertimana yang telah di jelaskan sebelum ini, sekiranya ada dalil dari Al-Quran atau As-Sunah berkenaan dengan perkara tersebut hendaklah didahulukan dalil-dalil tersebut dan Dalam kes pengharaman dadah, tidak sewajarnya dirujuk kepada Qias.

[26]      Mereka berhujah bahawa Nabi Muhammad saw pernah bersabda bahawa  :
عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ: كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ، وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ.

Maksudnya : Daripada Ibn Omar, Sesungguhnya Rasulullah bersabda bahawa setiap benda yang memabukkan (menghalang akal berfungsi dengan baik) adalah khamar, dan setiap yang memabukkan itu adalah haram.

[27]      Berdasarkan hadis tersebut, dapat diteliti bahawa Nabi menyamakan setiap yang memabukkan itu sebagai khamar. Tidak kira apa jua perkara itu dinamakan, sekiranya ia memabukkan (menghalang akal berfungsi dengan baik) maka perkara tersebut dikategorikan sebagai Al-khamr dan hukum bagi perkara tersebut adalah Haram.

[28]      Oleh itu, adalah lebih tepat dan lebih wajar jika pengharaman dadah tersebut terus dirujuk kepada dalil yang asal berbanding kepada Qias.

[29]      Pada pandangan penulis, pendapat ini turut mempunyai hujahnya yang kuat yang harus dipertimbangkan dalam pengharaman sesuatu perkara yang memabukkan dan tidak hanya  bergantung pada qias kerana ada dalil yang lebih wajar diutamakan.

KESIMPULAN

[30] Berdasarkan kepada perbincangan di atas adalah dapat disimpulkan bahawa terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dalam menggunakan method qias bagi menentukan hukum bagi sesuatu perkara.

[31]      Penulis berpandangan bahawa tugas yang paling sukar dalam membuat penentuan hukum berdasarkan method qias ini adalah pada menentukan illah atau sebab bagi sesuatu perkara itu diputuskan dengan hukum-hukum tertentu dan Perlu adanya kemampuan dalam menilai illah atau sebab agar illah yang dikeluarkan dilihat sebagai sesuatu yang kukuh yang boleh diterima serta diambil kesempatan oleh mana-mana pihak lain yang tidak bertanggungjawab dengan mendakwa sesuatu hukum diperolehi dengan Qias sedangkan illah atau sebabnya sangat longgar sehingga mendatangkan fitnah kepada Agama Islam.

Wallahua3alam.
*Tugasan Untuk Kelas DLSA 2012






2 comments: