Friday 27 July 2012

Memilih kos : antara minat dan penawaran institusi pengajian

Gambar hiasan

Memilih kos  : antara minat dan penawaran institusi pengajian

Syabas dan tahniah diucapkan kepada mereka yang berjaya mendapat tempat di mana-mana institusi pendidikan awam mahupun swasta di dalam negeri mahupun di luar negara.

Ibu bapa bangga dengan anda, anda hanya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk berterima kasih kepada mereka. Mereka tidak mengharapkan lebih dari itu.

Baru-baru ini juga kenyataan telah dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk seri Mohamed Khaled Nordin  supaya pelajar tidak memilih kos yang ditawarkan sebaliknya perlu menerima apa yang sudah ditawarkan kerana ditakuti akan ketiadaan tempat bagi kos yang ingin dipilih, saranan ini diajukan kepada 1,894 pelajar lepasan STPM dan matrikulasi yang memperoleh CGPA 2.8 ke atas yang sebelum ini tidak mendapat tempat di mana-mana.[i]

Dalam bergembira dan bahagia dan berterima kasih dengan peluang yang telah diberi tidak bermakna kita tidak boleh bertanya dan menilai sejauh mana sistem pengajian tinggi di Malaysia berfungsi.


berdasarkan senario yang saya bangkitkan, adakah sistem pendidikan seperti ini menjamin keberkesanan pendidikan tinggi negara ? adakah ia sesuai bagi memaksimumkan tenaga menyumbang demi pembangunan masyarakat khususnya dan negara secara amnya.

Untuk perbincangan ini saya fokuskan kepada tiga bahagian.

Pertama : Minat pelajar.
kedua : keperluan negara.
ketiga : kemampuan institusi pengajian tinggi.

Minat Pelajar

Apa jua bidang yang ingin diceburi oleh para pelajar perlu berbekal minat, kerana bagi saya minat merupakan satu motivasi ‘dalaman’ bagi pelajar untuk belajar selain daripada sokongan dan dorongan ibu bapa.

Tetapi, timbul persoalan bagaimana minat ini dipupuk ? dan bila sebenarnya minat ini timbul ? siapa yang mempunyai peranan untuk memupuk minat di kalangan pelajar bagi menceburi satu-satu bidang ?

Memilih bidang pengajian tanpa minat yang mendalam adakah satu tindakan yang bijak ? adakah mampu untuk memaksimumkan inovasi pelajar terhadap bidang yang diceburi ?

ada yang meyakinkan para pelajar supaya menerima apa sahaja penawaran kos pengajian, minat itu soal nombor dua atau tiga. Yang penting dapatkan dulu tempat di pusat pengajian tinggi. Dan tambah mereka lagi, lama-kelamaan minat itu akan datang dan menyebabkan anda suka dengan bidang yang ditawarkan tersebut.

ada pula yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, sebaliknya menegaskan minat pelajar penting dalam apa jua bidang yang diceburi.  Kerana tanpa minat, boleh menyebabkan para pelajar mudah putus asa sekiranya berhadapan kesukaran dalam memahami  bidang tersebut dan seterusnya membuat keputusan untuk berhenti daripada meneruskan pengajian.

rata-rata pelajar selepas SPM, STPM atau STAM tidak mempunyai minat dalam bidang yang tertentu kecuali sedikit. Sebaliknya ‘terpengaruh’ dengan keadaan sekelilingnya. Sekiranya seorang bapa itu kontraktor, maka kecenderungan anak kuat untuk menjadi kontraktor dan menyambut pengajian dalam jurusan itu, sekiranya seorang guru anaknya juga akan berazam menjadi seorang guru. Ada juga yang pengaruhnya berdasarkan bidang yang mampu buat duit yang banyak, seperti peguam, Doktor dan lain-lain menyebabkan mereka ‘terpengaruh’ memilih jurusan yang akan menjadikan mereka seorang peguam atau doktor.

apa bukti untuk mengatakan mereka ini terpengaruh ? bukti yang paling jelas dan sukar untuk dinafikan adalah ketika memilih untuk menceburi bidang tersebut tanpa mengetahui sebab pemilihan sesuatu kos. Sekiranya benar mereka itu tidak terpengaruh, mereka mampu memberi alasan akan kecenderungan mereka terhadap sesuatu bidang tersebut.

Keperluan negara

Bagi sesebuah negara membangun, tenaga kerja serta pakar dalam setiap bidang diperlukan. Kekosongan tenaga kerja bagi mana-mana sektor dalam negara boleh melembapkan pembangunan negara. Oleh yang demikian itu, kerajaan senantiasa memantau akan keperluan semasa bagi memastikan kekosongan-kekosongan yang ada dapat dipenuhi oleh tenaga-tenaga pakar.

kepakaran-kepakaran ini tidak mungkin ada dengan sendirinya, sebaliknya memerlukan kepada proses pembelajaran yang sistematik bagi memenuhi kehendak pembangunan negara. Institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta merupakan tempat di mana kerajaan memperoleh tenaga-tenaga pakar.

Insentif-insentif yang dikeluarkan oleh negara seperti biasiswa dan kemudahan pinjaman pengajian merupakan bentuk galakkan yang dilihat oleh negara mampu mempercepatkan lagi proses penghasilan tenaga pakar ini.

Dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini adakah mampu menghasilkan tenaga-tenaga pakar yang menyumbang kepada pembangunan negara ? kerana jika dilihat biasiswa serta kemudahan pinjaman ini bertindak sebagai ‘penarik’ yang mengaburi minat pelajar. Yang akhirnya membawa para pelajar memilih sesuatu bidang bukan berdasarkan minat bahkan kerana keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan.

Kemampuan institusi pengajian tinggi

Saban tahun institusi pengajian tinggi menerima permohonan daripada para pelajar bagi menyambung pengajian mereka, bilangan ini tahun ke tahun semakin meningkat. Pertambahan populasi penduduk sememangnya akan memberi kesan terhadap perkara ini.

Di sini bermulalah ‘politik’ institusi pengajian tinggi dalam menerima atau menolak permohonan para pelajar, pelajar yang memperoleh keputusan peperiksaan yang bagus dan memenuhi kriteria yang ditetapkan terlebih dahulu akan dipilih berbanding mereka yang tidak.

walau bagaimanapun perimbangan politik yang dibuat, institusi pengajian tinggi terpaksa menerima pelajar yang tidak memperoleh keputusan yang baik serta kriteria yang ditetapkan, perkara ini mungkin disebabkan untuk melambatkan proses pengangguran di kalangan para remaja.

disebabkan perkara ini, institusi pengajian tinggi terpaksa menempatkan para pelajar dalam apa jua bidang yang ada kekosongan dalam masa yang sama mengambil kira prasarana dan kemampuan sedia ada.

Sudah tentulah natijahnya akan menyebabkan para pelajar ditempatkan dikos-kos pengajian yang mereka tidak minat seterusnya menambah beban ‘pengangguran’ di negara ini sekiranya mereka gagal mendapat pekerjaan kelak atas alasan mereka tidak ada inovasi, pencapaian akademik yang tidak memuaskan dan sebagainya.

masalah yang berlanjutan

berdasarkan tiga pembahagian yang dibentangkan ini, boleh membawakan kita kepada beberapa soalan utama yang perlu diselesaikan;

Pertama : Siapakah yang berperanan dalam memupuk minat dikalangan para pelajar untuk memilih kos pengajian yang sesuai ?

kedua : Sekalipun minat telah dipupuk di dalam jiwa para pelajar, apakah jaminan yang ada untuk mereka terus mendapat tempat di bidang pengajian yang mereka inginkan ?

Ketiga : Adakah kerajaan mengambil kira terhadap minat para pelajar sebelum menawarkan kepada mereka keistimewaan yang ada ? adakah cukup menilai para pelajar berdasarkan keputusan SPM mereka ?

Keempat : Apakah tindakan kerajaan bagi para pelajar yang menerima intensif daripada pihak kerajaan yang gagal menghabiskan pengajiannya dan tidak berkhidmat kepada negara ? kerana ini boleh membawa kepada ketidaktelusan negara dalam mengurus dana negara.

Kelima : Kriteria yang diutamakan oleh institusi pengajian tinggi adakah mengambil kira minat pelajar terhadap kos yang ditawarkan ? atau sekadar melihat kekosongan bidang yang ada ?
keenam : adakah wujud kegagalan institusi pengajian tinggi menilai keperluan semasa yang diperlukan para pelajar bagi melayakkan diri mereka dipasarkan kerja ? adakah kegilaan institusi pengajian tinggi untuk ‘berniaga’ sehingga gagal memenuhi tuntutan semasa yang seterusnya menyumbang kepada pengangguran di kalangan para lepasan institusi pengajian tinggi ini ?

ketujuh : adakah wujud di sana pelan bersama di antara negara dan institusi pengajian tinggi bagi menilai kos pengajian mana yang perlu atau tidak ditawarkan bagi mengelakkan masalah pengangguran ini ?

Persoalan-persoalan ini memerlukan jawapan kerana ia merupakan reflek terhadap situasi  pengajian tinggi  di Malaysia sekarang ini.


Penutup

Sebagai seorang mahasiswa yang pernah melalui dilema yang sama dengan rata-rata para pelajar di Malaysia saya rasakan sesuatu yang perlu bagi rakyat membuat wacana terbuka bagi memberi buah fikiran supaya dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi sekarang ini. Tidak sepatutnya kita menyerahkan perkara ini kesemuanya pada kerajaan. Rakyat juga perlu tampil. Ini negara kita, kita yang merancang perjalanannya.

Saranan saya kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan dapat mempertimbangkan cadangan para siswa dan siswi yang mencadangkan tema pertama pada sesi kali ini adalah bertemakan  pendidikan.ini  secara tidak langsung ini membawa mesej kepada ramai pihak, bahawa pendidikan merupakan satu perkara yang perlu diberi penekanan yang serius bagi menjamin pembangunan masyarakat dan negara yang sejahtera.

Pelbagai isu boleh dikupas, berikut merupakan juzu' kecil daripada dilema-dilema institusi pengajian tinggi yang pelbagai.







No comments:

Post a Comment