Tuesday 12 May 2009

MAAHAD SEPINTAS LALU

MAAHAD SEPINTAS LALU

Maahad Tarbiah Islamiyyah Derang adalah sebuah Pusat Pendidikan Islam Tradisional. Ia ditubuhkan atas hasrat untuk membangunkan kembali keperibadian Islam di dalam diri anak-anak didik yang bakal mewarisi kedudukan umat generasi akan datang.
Maahad ini diasaskan pada 1981 di atas tapak seluas 10 ekar di Kampung Tengah Mukim Derang Pokok Sena Kedah yang dibeli dengan harga RM 30 000 dan diwaqafkan oleh 40 orang pendokong pertama Maahad yang diketuai oleh Yang Berbahagia Ayahanda Syeikh Niamat Yusuf.

Motif yang mendorong ke arah penubuhan Maahad ini antara lain ialah;

i. Kepincangan yang berlaku di dalam masyarakat di tokok pula dengan pelbagai bentuk keruntuhan moral yang disebabkan oleh kehilangan keperibadian Islam sebagai nilai hidup masyarakat.

ii. Faktor sejarah yang telah memperlihatkan kepada kita bagaimana umat Islam bangun dan berkembang ketika keperibadian Islam dan nilai hidupnya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya dalam kehidupan umat, dan mereka pernah jatuh ketika keperibadian yang berharga itu ditolak walaupun pada ketika itu mereka dibaluti oleh kemewahan yang tidak ada tolok bandingnyaa dalam segala hal di dunia ini.

iii. Faktor tradisi (Al Quran dan As Sunnah) yang dengan tegas menjelaskan bahawa jaminan pertolongan Allah dan keberkatannya adalah terletak di atas iman dan taqwa yang dijadikan teras dalam kehidupan umat.

iv. Faktor sejarah tempatan juga telah membuktikan bahawa pengajian Islam tradisional telah berjaya melahirkan para ulama yang berwibawa, pemimpin-pemimpin masyarakat dalam pelbagai peringkat, tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang kehidupan, usahawan-usahawan, pekerja-pekerja mahir dan pekerja-pekerja biasa yang berjaya dalam kehidupan berdikari. Sedikit benar dari keluaran pusat-pusat pengajian ini menjadi sampah masyarakat. Institusi Pengajian Islam Tradisional dan para ulama serta keluarannya pernah diberi jolokan sebagi ‘benteng akidah’ dan tunggak keperibadian Islam dalam sejarah moden tempatan.
Dekad pertama yang di lalui dengan kesederhanaan dalam konteks pembangunan keseluruhan. Pembangunan yang terdapat di peringkat lalu tidak berjalan dengan sistemetik, terarah dan tersusun memandangkan perkembangan bilangan pelajar yang menigkat dengan cepat berbanding masa merencana dan kemampuan untuk membina bangunan baru amat terbatas. Lantas dalam dekad pertama memaparkan panorama bangunan lama, insfraktruktur yang tidak sempurna, kelas pengajian yang tidak serata, peralatan yang kurang dan apa saja yang di buat melambangkan terpaksa dibuat tergesa - gesa.
Maka dekad kedua menyusul dengan penuh pengharapan dengan suatu tekad untuk merealisasikan pembangunan yang lebih tersusun, terarah dan terencana berdasarkan kerja sama dan sokongan semua pihak.
Namun, hasrat ini bukan sahaja datang dari dalam Maahad. Sudah sampai masanya pendidikan Islam didokong sepenuhnya dan pembangunan Maahad dilanjutkan dalam melanjutkan survival pendidikan Maahad.
Maka lahirlah sebuah jawatankuasa pembangunan Maahad yang terdiri daripada ahli - ahli profesional, ahli perniagaan dan golongan cendiakiawan yang peka terhadap perkembangan ini.Tindakan pertama ahli jawatankuasa ialah dengan membeli tanah baru di akhir dekad pertamabagi melaksanakan suatu kompleks pengajian yang tersusun dari peringkat rendah ke peringkat tinggi.Perangcangan telah di buat dari sudut susun letak dengan bantuan arkitek yang secara sukarela menyediakan pelan induk " Rancangan Pembangunan Maahad " secara menyeluruh. Perancangan ini dibuat berdasarkan kepada 3 fasa iaitu, fasa 1 di tanah seluas 30 ekar yang dibeli di peringkat penerokaan, fasa 2 di tanah seluas 2.5 ekar yang dibeli pada tahun 1988 dan fasa 3 seluas 15 ekar yang dibeli di penghujung tahun 1990.

Perincian mengenai kedudukan fasa tersebut adalah seperti berikut :-

FASA 1

Terletak di atas tapak yang dibeli di peringkat Maahad di teroka. Fasa ini kebanyakkan terdiri dari bangunan - bangunan yang lama
( secondhand ) yang didirikan semula di Maahad. Pembinaan ini berlaku di Maahad secara berperingkat bergantung kepada sumbangan bangunan atau kewangan daripada masyarakat. Bangunan tersebut adalah :-
a) Masjid Besar b) Masjid Putri c) Sekolah bahagian Ibtidai ( putra dan putri ) d) Sekolah bahagian Thanawi ( Putra dan Putri ) e) Asrama bahagian Thanawi dan Ibtidai ( Putra dan Putri ) f) Kedai runcit dan kantin g) Pejabat h) Pusat Penerbitan dan Penjualan Kitab g) Rumah guru dan petugas
Fasa ini akan disusun semula secara berperingkat memandangkan kedudukan dan pembahagian dalam penggunaan bangunan yang tidak mengikut pembahagian sekata secara berkelompok. Sebagai contoh asrama bahagian Ibtidai ( putra ) berada di dalam satu kawasan Thanawi putra manakala tempat pengajian Thanawi jauh daripada Darul Ulum, bersebelahan dengan bahagian puteri kelas pengajian bagi kelas Ibtidai Putra pula di masjid.
Dalam Fasa 1, terdapat satu projek yang belum lagi dilaksanakan sehingga kini iaitu pembinaan sebuah kompleks " Perpustakaan dan Arkib ". Projek ini penting memandangkan kegunaannya amat diperlukan kepada pelajr terutamanya pelajar Thanawi dan Aliah yang memerlukan sebuah pusat rujukan dan penyelidikan di bidang keilmuan Islam mahupun di bidang - bidang yang lain. Tapak bangunan telah siap di timbun, namun disebabkan modal yang terbatas ia telah menjejaskan pembinaannya.
FASA 2
Fasa yang kedua ini ialah Pembinaan Pusat pengajian Tinggi Al Ma`ahadul `Ali di atas lot seluas 2.5 ekaryang telah dibeli hasil daripada derma dan kutipan masyarakat Islam pada tahun 1987. Tanah ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia " Samahatus Syeikh Abul Hasan Ali Al Hasani An Nadwi, Reaktor Nahdatul Ulama, Lucknow, India merangkap Cancelor Pusat Islam, Universiti Oxford pada 5 April 1987. Pelan Pembangunan ini telah disediakan oleh Tuan Haji Nor Hazim dan insyaAllah akan delaksanakan dalam tempoh masa 5 atau 10 tahun yang akan datang bergantung kepada perubahan semasa dan sejauh mana komitmen masyarakat Islam kepada usaha ini.
FASA 3
Fasa 3 ialah pembinaan tanah seluas 15 ekar yang dibeli pada tahun 1989. Tanah ini bersebelahan dengan Maahad menuju ka Utara tetapi dirintangi oleh alur. Titi kecil menjadi penghubung di antara Maahad dengan lot ini. Titi ini dijangka akan di ganti kepada jembatan besar oleh kerajaan selewat - lewatnya pada akhir tahun 1991.
Fasa 3 terbahagi kepada 2 bahagian :-
a) Sekolah Putri Darun Nisa` b) Taman kediaman Derang.
Untuk menjayakan pembangunan fasa ini, satu projek telah dilaksanakan di bahagian Darun Nisa`melalui projek Wakaf Jemba.Melalui projek ini, maahad telah memberi peluang kepada masyarakat Islam yang membuat amal jariah melalui pembelian lot - lot kecildalam kawasan Darun Nisa` yang diwakafkan kepada pihak Maahad. Sejumlah 279 fail telah diedarkan dan setiap satu mengandungi 60 petak tanah seluas15 jemba. SEtiap jemba dibeli dengan harga RM 100.00 atau satu petak ( 1/4 jemba ) pada kadar RM 25.00. Sehingga kini jumlah yang diperolehi ialah sebanyak RM 207,296.00.
Manakala dibahagian Taman Kediaman, sebuah pelan teratur telah dibuat bagi mengwujudkan satu sistem kediaman berpusat dan tersusun untuk petugas dan pendokong Maahad.

MATLAMAT PENUBUHAN

Atas alasan mengembalikan semula warisan Pendidikan Islam dengan segala ciri-ciri keistimewaannya yang hampir lenyap itu, maka Maahad Tarbiah Islamiyah Derang diusahakan kelahirannya demi untuk memenuhi tujuan berikut;

i. Untuk menjadi sebuah Pusat Pengajian dan Pendidikan Islam bagi semua peringkat umur dengan segala persediaan pembelajaran yang diizinkan demi untuk menyediakan masa depan yang lebih cerah, jelas dan terbuka.

ii. Untuk mengambil peranan dan tanggungjawab pusat-pusat Pengajian Islam Tradisional dengan segala ciri-ciri pendidikannya yang berharga di mana telah hilang atau lenyap ditelan masa.

iii. Untuk membantu atau meringankan bebanan pihak pemerintah dalam menyelesaikan beberapa masalah kepincangan masyarakat yang dihasilkan oleh kepincangan pendidikan itu sendiri.

iv. Menjadi “Pusat Latihan Keperibadian Islam” yang menyediakan pelbagai bentuk laatihan yang positif bagi menjamin Pembentukan Insan yang bertanggungjawab.

v. Untuk melahirkan manusia-manusia yang sanggup berdikari menerusi latihan-latihan kemahiran dalam kegiatan pertanian, penternakan, perusahaan, pertukangan dan seumpamanya.


Selaras dengan tujuan di atas dengan itu Maahad Tarbiah Islamiyah Derang menerusi program pendidikan yang disusun mempunyai matlamat seperti berikut;

i. Melahirkan peribadi-peribadi yang sanggup memikul tanggungjawab sebagai ulama’-ulama’ dan petugas-petugas dalam pelbagai urusan kehidupan keagamaan mengikut peringkat kemampuan dan bakat masing-masing.
ii. Melahirkan peribadi-peribadi yang mampu menjalankan tugas-tugas seharian secara berdikari sebagai peniaga, usahawan dan pekerja mahir yang memegang teguh dengan disiplin agama dalam pekerjaan serta mempunyai sikap tanggungjawab.

iii. Melahirkan peribadi-peribadi yang bersedia memberi khidmat kemasyarakatan dalam semua peringkat daan keadaan yang memerlukan.

SISTEM PENDIDIKAN

Sistem pendidikan di Maahad ini dirangka berdasarkan dasar dan startegi pendidikan berteraskan Al Quran dan As Sunnah dalam tujuan menepati dan memenuhi matlamat penubuhan Maahad ini.

DASAR PENDIDIKAN

Pendidikan di Maahad ini dibentuk berdasarkan kepada maratibul ulum (hairaki ilmu) yang menasabah dengan susunan kepentingan hidup manusia itu sendiri di dunia dan akhirat, yang keutamaan diberikan kepada pengajian Fardhu Ain, kemudian diikuti pula pengajaran Fardhu Kifayah dan Ilmu-ilmu Alat yang lain.

Pendidikan di Maahad Tarbiah Islamiyah adalah berteraskan kepada pendidikan Islam yang asli dan moden yang bermanfaat di mana mementingkan ciri-ciri seperti At ta’lim, At tadrib, At Ta’dib dan Al Irsyad.


At Ta’lim

Menyampaikan ilmu berdasarkan ketetapan konsep, penyusunan dan maratib ilmu


At Tadrib

Mengenakan latihan yang boleh membiasakan diri dengan amalan-amalan yang tepat dengan kehendak ilmu, samada yang berkaitan dengan soal-soal fizikal atau berkaitan dengan kerohanian, demikain juga yang menyentuh urusan kemahiran, gerakan dan kecekapan pemikiran.

At Ta’dib

Pembentukan peribadi yang tinggi menerusi pelbagai saluran tindakan yang berkesan tanpa meninggaalkan kesan yang buruk ke atas anak-anak didik.


Al Irsyad

Tunjuk ajar panduan serta nasihat ke atas anak-anak didik oleh guru-guru yang berpengalaman dan matang di bidang-bidang tertentu

STRATEGI PENDIDIKAN

Strategi pendiikan di Maahad dirumuskan khusus dalam memperolehi keberkatan dari Allah SWT ini termasuklah;

i. Menempatkan penuntut-penuntut di sebuah kawasan/tempat yang terpisah dari segala macam pengaruh liar yang boleh menggugat tingkah laku penuntut ketika proses pendidikan sedang berjalan.

ii. Memulakan pendidikan dengan titik tolak keikhlasan dimana pembentukan matlamat yang murni ( belajar untuk mencapai keredhaan Allah) mestilah ditanam sejak dari penuntut memulakan langkah sulungnya ke Maahad ini.

iii. Mengutamakan ciri-ciri keberkatan dalam penyampaian dan suasana pembelajaran. Kejayaan tamadun islam di zaman silam adalah berpunca dari ciri-ciri keberkatan ini. Dan di antara ciri-ciri tersebut yang akan ditekankan dalam sistem pembelajaran Maahad ialah pengajian secara berhalaqah.

iv. Pengasingan di antara penuntut lelaki dan perempuan di dalam segala hal dan kegiatan. Kaedah ini bukan sahaja dititikberatkan ketika masa persekolahan, malah sejak dari pendidikan di dalam rumahtangga lagi di mana wujud pemisahan perrgaulan di antara anak lelaki dan anak perempuan oleh ibu bapa.

v. Mengutamakan adab dan disiplin ilmu ketika pendidikan dan pengajian sedang berjalan.

No comments:

Post a Comment